Patutkah Remaja Kahwin Awal?
February 19, 2012
Rasulullah s.a.w bersabda: Tiga perkara yang jangan dilambat-lambatkan, iaitu solat apabila telah masuk waktunya, jenazah apabila telah siap (urusan mandi dan kafan) dan anak gadis setelah ditemui (pasangan) yang sesuai untuknya. (H.R. Tirmidzi)
Kahwin awal bukan satu masalah. Mari lihat persoalan-persoalan yang selalu menerjah di kepala anak-anak muda yang fitrahnya terhalang atas sebab-sebab tertentu.
1. Kahwin waktu masih belajar, adakah tidak mengganggu pelajaran?
Siapa cakap kahwin waktu sedang belajar mengganggu? Salah tanggapan tu. Sepatutnya, kahwin awal lebih memberi kita semangat yang membara. Yelah, sudah ada pasangan yang halal dan akan sentiasa menyokong kita, mesti la lagi bersemangat mau belajar kan? Lagi satu, orang yang sudah kahwin ni akan berasa lebih bertanggungjawab dari sebelum kahwin. Sebab mereka tahu bahawa mereka punya pasangan untuk dijaga, jadi mereka pun akan berusaha untuk buat yang terbaik bagi pasangan mereka. Apa-apa pun, tengok ibu bapa kita saja sebagai contoh. Sudah kahwin, tapi adakah mengganggu kerja mereka? Tidak kan?
2. Saya masih belajar, macam mana mahu bagi nafkah pada isteri kalau belum ada kerja?
Saya tahu ramai antara kita yang masih belajar, dan ramai yang meminjam dapat elaun biasiswa. Saya beranggapan pasangan yang ingin dikahwini jugak masih study Jadi ia bermakna dua-dua masih dapat hidup dengan wang yang asas tu. Jadi, sementara masih belum ada kerja, suami berilah nafkah yang termampu kepada isteri. Mungkin $25 atau $50 sebulan? Bergantung kepada berapa banyak isteri gunakan untuk makan. Lagipun, isteri jugak ada wang, jadi tak perlu rasa ada masalah di situ. Yang penting dua-dua masih dapat hidup. Lain la kalau isteri demand kereta, rumah, rantai emas, baju berlambak-lambak, dan macam-macam lagi. Jadi, sepatutnya tiada masalah dalam bab nafkah. Cuba kita tengok orang Arab zaman Nabi dulu. Adakah kebanyakan daripada mereka orang berharta? Tidak. Mereka cuma mampu memberi isteri makan makanan setakat yang mereka mampu beri. Itu pun sudah mencukupi untuk dijadikan nafkah. Nabi tak larang pun orang miskin berkahwin. Jangan jadikan kekurangan wang sebagai penghalang perkahwinan. Itu namanya menyalahkan takdir Allah. Berdosa.
Firman Allah: Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui. (An-Nur:32)
3. Macam mana mahu cari modal untuk majlis perkahwinan?
Apa perkara asas dalam kahwin? Ya, akad nikah dan walimatul urus. Merisik dan bertunang tu bukan wajib pun. Jadi, potong kos seperti bagi hantaran waktu merisik dan bertunang, sudah jimat wang. Waktu akad nikah pun, jemputlah keluarga terdekat dengan kawan-kawan saja yang dapat datang. Berdosa bila tidak menghadiri jemputan walimatul urus. Jadi, jimat sikit kos kenduri. Buang wang saja sewa pelamin, sewa baju pengantin, sewa jurukamera dengan mak andam semua tu kerana ia termasuk dalam hal-hal yang sia-sia. Mas kahwin pun tidak perlu tinggi-tinggi kerana sebaik-baik magar adalah yang paling rendah. Mudah saja majlis perkahwinan dalam agama Islam. Tidak sampai puluh ribu pun.
Sabda Rasulullah s.a.w: Tiga golongan yang akan selalu diberi pertolongan oleh Allah ialah seorang mujahid yang selalu memperjuangkan agama Allah s.w.t, seorang penulis yang selalu memberi penawar dan seorang yang menikah demi menjaga kehormatan dirinya. (H.R. Thabrani)
4. Tidak terlalu awalkah untuk saya berkahwin?
Kalau rasa dengan kahwin boleh buat semangat untuk belajar semakin meningkat, kahwin la. Kalau rasa kahwin boleh buat diri semakin bersemangat dalam agama, kahwin la. Kalau rasa kahwin boleh elak daripada fitnah dan maksiat, kahwin la. Itu maksudnya, kahwin memang perlu di usia muda. Benda yang baik, jangan dilambatkan. Takut kelak bertukar menjadi benda yang tidak baik. Cuba bayangkan anda ada pasangan yang disukai. Kan bagus kita cepatkan benda yang baik dengan berkahwin terus. Tapi kalau kita melambatkan perkahwinan yang bagus itu, mungkin kita akan terjerumus ke lembaah maksiat. Kenapa kita boleh beralasan untuk melakukan perkara yang halal, tetapi tidak langsung mengemukakan alasan untuk melakukan perkara yang haram? Tanya diri, jagalah iman.
Sabda Rasulullah s.a.w: Apabila datang kepadamu seorang laki-laki untuk meminang, yang engkau redha terhadap agama dan akhlaknya, maka nikahkanlah dia. Bila tidak engkau lakukan maka akan terjadi fitnah di muka bumi dan akan timbul kerosakan yang merata di muka bumi. (H.R. Tirmidzi dan Ahmad)
5. Bersediakah saya untuk kahwin awal?
Ini soalan paling bagus ditanya kepada diri sendiri. Tanya dulu soalan asas ni. Sudahkah saya solat penuh 5 kali sehari semalam? Bertanggungjawab sudahkah saya? Adakah saya panas baran atau penyabar? Adakah saya seorang yang bercakap menggunakan akal atau bertindak menggunakan akal di lutut? Pendek kata, ada banyak soalan spesifik yang boleh ditanya kepada diri sendiri. Walau apa pun jawapan dia, ini nasihat saya. Sentiasalah perbaiki diri dan mantapkan diri. Orang yang sudah berkahwin dan sedang belajar solat lebih baik berbanding orang yang sudah kahwin dan pandai solat tapi tidak amalkannya lepas kahwin. Orang yang bersedia mengubah dirinya adalah yang paling bersedia sebenarnya.
6. Macam mana dengan restu ibu bapa?
Ya, ini la benda paling susah bila mahu kahwin awal. Faktor penghalang paling utama. Kalau kita dapat menjelaskan dengan baik kepada ibu bapa dan mereka faham, insyaAllah tiada masalah untuk berkahwin awal. Tapi kalau ibu bapa kita susah mahu terima sebab fikiran mereka masih terikat dengan fikiran tipikal masyarakat Melayu sekarang ni yang lebih terpengaruh kepada adat dan cerekarama di tv semata-mata, serta pemikiran risau akan tak cukup wang nak sara anak dara orang, sudah tentu mereka tidak akan terima setiap hujah yang diberikan seperti di atas. Apa-apa pun, saya doakan yang terbaik untuk mereka yang mahu kahwin awal supaya cepat bertemu jodoh. Ingat, bila seseorang itu berkahwin kerana ingin mengikut sunnah Rasulullah, maka terbukalah segala pintu rezeki untuknya. Lihat, betapa banyaknya kelebihan kahwin awal. Fikiran kita yang sempit saja membuatkan kahwin ni nampak terlalu susah sangat.
Umar bin al-Khattab r.a telah berkata: Kahwinlah anak-anak kamu apabila sampai baligh, janganlah kamu menanggung dosa-dosa mereka. (Disebut oleh Ibnu Jauzi dalam Ahkam An-Nisa)
Nasihat saya untuk golongan-golongan yang sedang hangat bercinta tu, sebaiknya kahwinlah awal. Lebih banyak kelebihan kahwin awal berbanding kahwin lambat. Tapi semua itu pilihan masing-masing juga. Mudah-mudahan setiap pilihan yang kita buat adalah yang terbaik dan dirahmati Allah. InsyaAllah.
Rasulullah s.a.w bersabda: Siapa yang benci dengan cara hidup (sunnah) ku maka dia tidak termasuk golonganku. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Sambutan Hari Valentine haram, perlu dijauhi
February 13, 2012
Oleh Azrul Affandi Sobry
azr@bharian.com.my
2012/02/13
Suara memperlekeh hukum, anggap hak peribadi sengaja menggalakkan kemungkaran
ESOK seluruh dunia sekali lagi dilanda fenomena berkasih sayang. Sana sini kedai bunga pasti sibuk menyediakan jambangan bunga sebagai hadiah paling istimewa sebagai menyambut ‘Hari Valentine’ atau hari kasih sayang. Sudah pasti, sejak lewat malam ini, kebanyakan kelab malam dan hotel bersedia dengan pesta kasih sayang dengan pelbagai konsep tersendiri.
Lewat malam ini juga, pasti kelihatan gelagat anak muda berpasangan berpelukan dengan penuh keasyikan, kononnya diulit rasa romantik sebagai tanda kasih sayang yang terbina selama ini ditambah erat pada hari penuh istimewa bagi mereka itu. Lena diulit intan, ramai pasangan bercinta menghabiskan sisa malam Valentine di ranjang, tanda kasih sayang termeterai walaupun tanpa ikatan pernikahan.
Bagi yang menganggap sambutan di kelab malam sehingga ke ranjang sesuatu yang keterlaluan, mereka mungkin sekadar memilih sambutan sederhana seperti makan malam ditemani lilin atau sekadar membeli hadiah sebagai tanda mereka mengingati hari yang kononnya begitu istimewa itu.
Jika tiada hadiah dibeli, khuatir nanti pasangan mencebik dan merajuk dengan tuduhan pasangannya tidak romantik dan lupa kepada hari istimewa itu. Mulalah pasangan lain dijadikan contoh betapa mereka sayang pasangan mereka dengan sekurang-kurangnya memberikan bunga dan mengucapkan: “Happy Valentine Day, sayang…”
Persoalannya, begitu pentingkah sambutan Valentine Day atau Hari Valentine ini dalam hidup kita dan sesuaikah umat Islam turut meraikannya, sedangkan sering kali setiap tahun orang agama menasihat dan memperingatkan bahawa sambutan hari kasih sayang itu tidak ada dalam Islam, malah sudah ada yang mengatakannya haram.
Hakikatnya, kita sering lupa konsep sambutan hari kasih sayang itu kebanyakannya bercanggah dengan ajaran Islam. Halalkah ciuman bagi bukan muhrim pada hari itu? Adakah Islam membenarkan pasangan kekasih berpimpin tangan, menari di kelab malam, berpelukan dan meneguk ‘air syaitan’ semata-mata untuk menunjukkan rasa sayang pada kekasihnya.
Larangan sudah jelas. Namun, pada kala ia ditegaskan betapa sambutan ini tidak dibenarkan dalam Islam, ada pula suara daripada bukan Islam yang memperlekehkan larangan ini dengan alasan sambutan sebegini adalah hak peribadi, tidak boleh diganggu dan terpulang pada individu itu sendiri. Kononnya, ini negara demokrasi.
“Haiwan itu ciptaan Allah dan haiwan juga hidup dalam peraturannya sendiri. Jelas dikatakan bahawa manusia adalah sebaik-baik ciptaan Allah, tetapi jika kita tidak mematuhi hukum Islam dan sewenang-wenangnya melanggar larangannya, manusia itu layak dianggap lebih hina daripada haiwan.
“Memang negara kita negara demokrasi. Ada hak kebebasan itu kepada rakyat kita, tetapi perlu diingat betapa haiwan juga tidak bebas berbuat apa disukainya. Jika manusia bebas buat apa dia suka, dianggap ia tidak masuk dalam agama. Jika sedar diri itu Islam, ikut cara dan undang-undang dalam agama ini.
“Jangan hidup dalam masyarakat jika mahu semuanya bebas. Jangan hidup beragama jika tidak tahu menghormati dan mematuhi hukum beragama. Jangan sampai dikatakan lebih hina daripada haiwan.”
Itu kenyataan tegas Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Datuk Dr Abd Shukor Hussin, yang jelas menolak konsep sambutan Hari Valentine terutama oleh umat Islam di negara ini dan seluruh dunia amnya. Bagi beliau, sambutan sebegitu lebih kepada menggalakkan perlakuan maksiat, sekali gus menjadikan sambutannya sebagai haram meskipun secara kecil-kecilan.
Malah, katanya, sambutan Valentine lebih kepada mengagungkan perayaan bukan Islam, selain menggalakkan maksiat. Secara terang-terangan ia diharamkan dalam Islam kerana menggalakkan perlakuan sumbang, terutama remaja yang gemar melakukan perkara dilarang termasuk maksiat.
“Kasih sayang penting dalam Islam dan menunjukkan kasih sayang tidak semestinya perlu ada hari khusus. Kita perlu saling mengasihi sesama kita. Islam mengajak umatnya mengasihi haiwan, apa lagi sesama manusia. Sayangi ibu bapa dan manusia lain, tetapi tidak perlu hari khusus.
“Sejarah Valentine tidak langsung menunjukkan membantu umat Islam meningkatkan amalan dan imannya. Malah, sejarah sambutan itu lebih banyak membawa kepada kerosakan akhlak. Oleh kerana itulah, Islam melarang dan jelas ia haram. Kebebasan adalah sesuatu yang sangat subjektif.
“Ada orang yang beranggapan menari dan minum sedikit itu sambutan kecil dan biasa. Ada yang anggap pegang dan peluk itu biasa. Soalnya, apa saja yang mereka buat itu bercanggah daripada hukum Islam dan sewajarnya dicegah. Agama lain tidak wajar masuk campur dalam urusan agama kita, sama seperti apa yang kita praktikkan,” katanya.
Beliau ternyata kurang senang apabila ada orang bukan Islam secara terang-terangan menyalahkan umat Islam yang melarang sambutan Hari Valentine dengan alasan ia adalah hak individu. Baginya, campur tangan sebegitu tidak wajar berlaku kerana setiap agama ada hukumnya sendiri dan perlu dipatuhi penganutnya.
“Untuk kamu agama kamu dan untuk kami agama kami.” Jelas dinyatakan dalam ayat akhir surah Al-Kafirun yang menunjukkan betapa Islam tegas dalam hal ini. Jaga agama kamu sendiri dan jangan sibuk dengan urusan hukum agama lain. Begitu juga kami (orang Islam) tidak sibuk dengan urusan agama kamu.
“Dalam Islam, sambutan Valentine haram dan perlu dijauhkan. Siapa yang mungkar dan tetap menyambutnya walaupun secara kecil tetap menempah dosa kerana ia jelas bercanggah dengan Islam. Jadi, itu hukum dalam agama Islam dan tidak wajar agama lain masuk campur dalam hal ini,” katanya lagi.
Fatwa Valentine Day Haram
February 11, 2012
Hukum Orang Islam Menyambut Perayaan Valentine’s Day
Keputusan:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-71 yang bersidang pada 22-24 Nov 2005 telah membincangkan Hukum Orang Islam Menyambut Perayaan Valentine’s Day. Muzakarah berpandangan bahawa ajaran Islam amat mengutamakan kasih sayang dan tidak ada hari tertentu di dalam Islam bagi meraikannya.
Oleh itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.
Keputusan (English):
The Ruling on Muslims Celebrating Valentine’s Day
Decision:
The 71st Muzakarah (Conference) of the Fatwa Committee of the National Council for Islamic Religious Affairs Malaysia held on 22nd-24th November 2005 has discussed the ruling on Muslims celebrating Valentine’s Day. The Conference decided that the teachings of Islam stress on love and there is no specific day in Islam to celebrate it.
Therefore, The Conference decided that the practice of celebrating Valentine’s Day is not part of Islam. The spirit of the celebration contains elements of Christianity and its practice that is mixed with sinful acts is prohibited and contradicts with Islam.
Keterangan/Hujah:
Sejarah Valentine’s Day tidak ada di dalam Islam. Amalan, budaya dan hasrat perayaan ini mempunyai unsur-unsur Kristian yang bercanggah dengan Islam.
Di dalam Islam tidak ada hari tertentu bagi meraikan kekasih atau kasih sayang. Islam sangat menitikberatkan soal kasih sayang dan setiap hari di dalam Islam adalah hari kasih sayang.
Islam menolak konsep kasih sayang yang terkandung dalam Valentine’s Day kerana unsur-unsur ritual keagamaan yang diamalkannya boleh menggugat akidah Islam.
Hukum Islam jelas dalam hal melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam. Ini berdasarkan sebuah hadith Rasulullah s.a.w.:
من تشبه بقوم فهو منهم
“Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia termasuk dalam kaum tersebut.”
( Riwayat Abu Daud)
Rasulullah s.a.w. juga bersabda:
من عمل عملا ليس عليه أمرنا فهو مردود
“Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan dari pada amalan kami maka ia akan ditolak.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Kebanyakan golongan remaja Islam hari meraikan Valentine’s Day dengan perbuatan- perbuatan yang dilarang oleh Islam. Gejala seperti ini sekiranya tidak dibendung akan merosakkan generasi umat Islam akan datang.
Khutbah Jumaat 10/2/2012 – Masjid Geduhum
February 10, 2012
Tajuk: Rasulullah SAW sebagai Pemimpin
Pendahuluan:
Al Ahzab:21
Rasulullah adalah contoh terbaik dalam kepimpinan. Baik dalam aspek kehidupan di dunia mahupun kehidupan di akhirat nanti.
Kehidupan Rasulullah perlu diselusuri dan diteladani bagi mendapatkan rahmat Allah. Pengutusan Rasulullah yang membawa kalimah toyyibah kepada seluruh manusia adalah satu panduan jelas bagaimana mana perlu hidup di dunia agart sentiasa diredhai Allah.
Rasulullah menggunakan pendekatan ukhuwah dan kasih sayang dalam merapatkan manusia baik sesama muslim mahupun non muslim. Ini jelas dengan apa yang telah direkodkan dalam sirah pembentukan Madinah dan pembebasan kota Mekah. Rasulullah menerima non muslim sebagai ahli negara islam Madinah dan juga telah memaafkan masyarakat quraisy di Mekah.
Sekian.
Bagaimana Mencintai Rasulullah?
February 4, 2012
Sebagai umat Islam kita perlu sentiasa merasa syukur kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala kerana telah dikurniakan nikmat yang besar berupa hidayah Islam, hidayah hidup di atas sunnah, dan terhindar dari pelbagai bentuk kefahaman hidup yang menyimpang.
Ini antaranya adalah berkah dan rahmat yang diberikan oleh Allah melalui kenabian dan kerasulan Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Atas sebab usaha-usaha kerasulan Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, Islam pun sampai kepada kita sehingga hari ini. Atas usaha beliau dan nikmat yang besar inilah kita sebagai umat Islam memiliki kecintaan kepada beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.
Pertama-tamanya, marilah kita fahami bahawa mencintai Nabi itu adalah termasuk ke dalam hakikat iman. Ini adalah sebagaimana Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berikut,
لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ
“Tidak sempurna iman seseorang kamu sehinggalah aku menjadi orang yang paling dia cintai melebihi hartanya, keluarganya, dan seluruh manusia yang lainnya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Iman, 1/24, no. 14)
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya),
قُلْ إِنْ كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُمْ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّى يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ وَاللَّهُ لا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ
“Katakanlah, “Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbang akan merugi, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya.” Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq.” (Surah at-Taubah, 9: 24)
Keduanya, mencintai dan mengikuti petunjuk Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah termasuk tuntutan mencintai Allah berdasarkan ayat berikut (maksudnya),
قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ
“Katakanlah (wahai Muhammad), “Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosa kamu.” Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Ali Imran, 3: 31)
Juga firman Allah (maksudnya),
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا
“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu contoh tauladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” (Surah al-Ahzaab, 33: 21)
Dengan menghayati maksud ayat-ayat di atas, adakah kita telah mengikuti contoh sebagaimana yang dikehendaki bagi merealisasikan fokus mencintai Allah dan Rasul-Nya? Adakah kita telah benar-benar mengikuti dan mencontohi Nabi dalam beragama? Adakah apa yang telah kita lakukan dalam amal-amal beragama kita selama ini menepati sebagaimana yang ditunjuk-ajarkan oleh beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam?
Dalam merealisasikan slogan “Cinta Nabi (Muhammad Shallallahu ‘alaihiwa Sallam)” apa yang paling penting adalah dengan melihat kembali diri kita sama ada telah benar-benar mengikuti sunnahnya. Sejauh manakah sunnah-sunnahnya yang sampai kepada kita telah kita hayati dan amalkan dengan sebaik-baiknya.
Maka dengan ini, apa yang pertama-tamanya lagi prioriti adalah supaya kita sentiasa menyemak bagaimana kita bertauhid, apakah telah benar sebagaimana Nabi kita mengajarkannya. Kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya), “Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul kepada tiap-tiap umat (untuk menyerukan), “Sembahlah Allah (saja), dan ingkarilah thaghut”.” (Surah an-Nahl, 16: 36)
Al-Haafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H) dalam tafsirnya menjelaskan, “Pada setiap zaman, para rasul diutuskan untuk menyeru manusia beribadah hanya kepada Allah dan melarang beribadah kepada selain-Nya. Allah Ta’ala bertindak mengutus para Rasul kepada manusia dengan membawa misi ini semenjak terjadinya syirik dalam kalangan anak cucu Adam di zaman Nabi Nuh. Nuh ‘alaihissalam, diutus kepada mereka sebagai Rasul pertama yang diperintahkan oleh Allah Ta’ala kepada penduduk bumi sehingga Dia menutup mereka dengan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang dakwahnya mencakupi jin dan manusia di timur dan barat.
Dan bahawasanya setiap Rasul memiliki tugas (misi) yang sama, sebagaimana yang difirmankan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala (maksudnya), “Dan Kami tidak mengutuskan seorang Rasul sebelum kamu, melainkan Kami wahyukan kepadanya, “Bahawasanya tidak ada Ilah (Tuhan yang berhak disembah dengan benar) melainkan Aku, maka sembahlah olehmu sekalian akan Aku.” (Surah al-Anbiya’, 21: 25)” (Tafsir Ibnu Katsir, 4/570)
Atas sebab itu, hendaklah kita istiqamah dalam bertauhid sebagaimana yang diperintahkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, sekaligus menjauhi pelbagai jenis kesyirikan yang banyak berleluasa. Dengan sebab itu juga, penekanan harus ditumpukan dalam persoalan ini yang merupakan tujuan utama beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam diutuskan kepada kita semua.
Setelah memenuhi dan memahami tuntutan-tuntutan tauhid, ia akan membawa kita supaya sentiasa mengambil dan melaksanakan sunnah-sunnah beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di setiap aspek kehidupan. Dalam mengamalkan sunnah, kita mestilah berhati-hati dari berlebih-lebihan terhadapnya iaitu dengan tidak menokok-tambah dan mengubahsuai sunnah tersebut. Hendaklah kita mengamalkan agama ini sebagaimana yang diperintahkan dan diajarkan olehnya. Termasuk dalam rangkuman sunnah, hendaklah kita meninggalkan apa yang ditinggalkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Kaedah ushul fiqh menyebutkan, “Perbuatan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam meninggalkan sesuatu perbuatan dalam keadaan wujudnya keperluan terhadap perkara tersebut dan tiadanya halangan (melakukannya), ia di sini menunjukkan meninggalkan perbuatan tersebut adalah sunnah dan melakukannya adalah bid’ah.” (Min Usul al-Fiqh ‘Inda Ahlil Hadis, 1/82)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengingatkan,
فَإِنَّ خَيْرَ الْحَدِيثِ كِتَابُ اللَّهِ وَخَيْرُ الْهُدَى هُدَى مُحَمَّدٍ وَشَرُّ الْأُمُورِ مُحْدَثَات
Bagaimana mencintai Rasulullah?
- Mentauhidkan Allah.
Hikmah utama diutusnya rasul termasuk Nabi Muhammad SAW adalah untuk menyeru manusia kembali kepada tauhid yang murni dan menentang syirik.
Firman Allah yang bermaksud:
“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus di kalangan tiap-tiap umat seorang rasul (agar menyeru mereka). Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhi Taghut.” (Surah al-Nahl, ayat 36)
Untuk membuktikan kasih sayang kita kepada Nabi Muhammad SAW, hendaklah sekalian umat Islam menghindari amalan syirik dan mengikhlaskan ibadah hanya kepada Allah. Mentauhidkan Allah adalah bukti paling kukuh menunjukkan kita mencintai Nabi Muhammad SAW.
- Mempelajari al-Quran,
memahaminya, mengamalnya dan menyebarkan ajarannya.
Antara tanda mencintai Rasulullah SAW adalah dengan memanfaatkan al-Quran yang menjadi mukjizatnya dalam segala aspek kehidupan kita.
Ibnu Mas’ud berkata: Janganlah seseorang menanyakan untuk dirinya, kecuali al-Quran. Apabila dia mencintai al-Quran, maka dia mencintai Allah dan Rasul-Nya.
Untuk merealisasikan makna mencintai al-Quran hendaklah kita mempelajari dan memahami isi kandungan dan beramal dengannya serta menyebarkan pengajaran yang terkandung dalamnya kepada seluruh umat manusia.
- Mentaati Sunnah Nabi SAW.
Satu lagi tanda yang jelas menggambarkan perasaan sayang kita kepada Nabi Muhammad SAW dengan mengerjakan sunnahnya, mengikuti perkataan dan perbuatannya, menjalankan perintahnya dan menghindari larangannya.
Firman Allah yang bermaksud:
“Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu terdapat contoh ikutan yang baik bagi kamu, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” (Surah al-Ahzab, ayat 21)
- Menyebarkan sunnah Nabi SAW.
Mencintai Nabi SAW bukan sekadar hanya taat kepada sunnah baginda, tetapi hendaklah kita bersungguh menyampaikan serta mengajarnya untuk menyambung tugasan baginda. Jika kerja dakwah baginda tidak ada kesinambungan, pasti sunnahnya akan mati dan digantikan amalan yang bercanggah dengan syarak.
- Sentiasa memuji dan mengingatinya.
Mencintai Nabi Muhammad SAW, bermakna baginda sentiasa berada di hati kita. Oleh itu, kita hendaklah memperbanyakkan membaca serta mempelajari sejarah hidup baginda serta berusaha untuk menjadikan perjalanan hidup baginda sebagai cahaya menyuluh perjalanan kita.
- Mencintai mereka yang dicintai Nabi SAW.
Antara tanda cinta kepada Nabi SAW adalah mencintai mereka yang dicintai baginda seperti isteri-isterinya, ahli keluarga dan sahabatnya serta seluruh umat Islam yang berpegang teguh dengan ajaran baginda.
- Membenci orang yang dibenci Nabi SAW.
Hendaklah kita membenci serta menjauhkan diri daripada mereka yang memusuhi Allah dan Rasul-Nya seperti golongan yang kufur kepada agama Allah dan mereka yang bergelumang dengan perbuatan bertentangan syarak.
- Membela Nabi SAW daripada serangan golongan munafik.
Dewasa ini kita melihat institusi kenabian, hukum-hakam Allah serta sunnah baginda sedang hebat diperlekehkan kelompok munafik.
Oleh itu, tanda kecintaan kita kepada Nabi Muhammad SAW adalah membantah hujah golongan itu dan membela baginda dengan memberi penjelasan kepada seluruh umat Islam terhadap isu batil yang dibangkitkan musuh Allah itu.
Demikianlah antara tanda yang menggambarkan hakikat sebenar mencintai Nabi Muhammad SAW. Jelas di sini mencintai Nabi SAW bukan satu perkara yang datang hanya setahun sekali. Mencintai Nabi Muhammad SAW adalah satu proses berterusan dan sentiasa perlu diberi perhatian setiap waktu dan ketika oleh seluruh umat Islam.
35 Petua Pelajar Cemerlang
January 31, 2012
DR FAZDILAH KaMSAH
Berikut merupakan petua-petua dan ciri-ciri yang ada pada pelajar cemerlang, dari Dr Fadzilah Kamsah. Pelajar cemerlang akan:
Menggunakan kedua-dua belah otak kanan & kiri. Ini dapat dilakukan dengan membuat aktiviti merangsang kedua-dua belah otak tersebut.
Merangsang kesemua deria dalam pembelajaran. Kajian menunjukkan bahawa:
kita ingat 10% apa yang dibaca
kita ingat 20% apa yang didengar
kita ingat 50% apa yang didengar & dilihat
kita ingat 70% apa yang dicakapkan
kita ingat 90% setelah dipraktikkan
Belajar secara aktif dengan pen/pensil ditangan.
Belajar 3 jam sehari atau 20 jam seminggu (tidak termasuk kerja rumah).
…Tahu memberi ganjaran kepada diri sendiri selepas belajar seperti membaca surat khabar, melawat rakan dan sebagainya….
Belajar dalam persekitaran kondusif.
pastikan cahaya adalah terang
kurangkan gangguan bunyi
tampal poster yang mengandungi slogan yang menaikkan semangat belajar
tampal gambar-gambar yang menenangkan fikiran
kerusi dan meja menghadap kiblat
jangan lupa untuk senyum
Tidak ponteng kelas. Kalau tertinggal kelas, salin nota dari rakan.
Mengulang kaji menggunakan kaedah ‘output learning’ iaitu belajar untuk melatih otak menggunakan maklumat yang terkumpul. Ini dapat dilakukan dengan membaca buku/nota, ingat kembali, lakar/tulis, sebut apa yang difahami, dan jawab soalan.
Tahu teknik merangsang memori:
memasukkan maklumat dalam memori (registration)
menyimpan maklumat dalam sel memori (retention)
mengingat kembali (recall)
menggunakan maklumat untuk menjawab soalan atau kegunaan lain (application)
Sentiasa awal dan mendahului:
persediaan awal akan memberikan permulaan yang baik dan memberi tanggapan yang positif pada guru.
pelajar yang mendapat A pada ujian lazimnya akan dapat mengekalkan kejayaannya.
belajar awal ketika tiada tekanan adalah tidak membosankan.
untuk sentiasa awal dan mendahului, bacalah dahulu sekali atau 2 kali sebelum guru mengajar.
Berbuat baik dengan guru. Setiasa hormati dan sayangi guru.
Mempunyai teknik membaca yang betul:
duduk dengan tegak & bernafas dengan betul
memberikan tumpuan sepanuhnya
menggunakan jari telunjuk untuk membaca
menyesuaikan kelajuan membaca dengan kesukaran bahan bacaan
Sentiasa mengawasi pencuri waktu belajar iaitu angan-angan kosong, bertangguh & malas.
Membaca doa penerang hati setiap kali selepas sembahyang, sebelum mengulangkaji, dan sebelum menghadapi peperiksaan.
Tidak membuang masa dengan belajar ketika letih.
Mengadakan rehat sebentar setiap 20 minit mengulangkaji.
Belajar mengikut waktu yang sesuai dengan diri (study according to your biological clock). Bagaimanapun, perlu tahu waktu-waktu yang sesuai untuk belajar iaitu sebelum tidur, selepas bangun tidur, selepas mandi air panas, selepas baca al-quran/zikir selepas riadah dan selepas berdoa.
Mengulang kaji secepat mungkin. Ulang kaji ringkas selepas belajar (kita akan lupa 80% selepas belajar).
Mengulang kaji secara bersendirian atau berkumpulan.
Tahu mengulang kaji adalah aktiviti pembelajaran terpenting sebelum peperiksaan.
Mengulang kaji pelajaran berulang-ulang kali.
Mengulang kaji apabila mulai terlupa.
Tahu petua mengulang kaji:
cari tempat yang tenang dan serasi dengan jiwa kita
siapkan semua ‘bekalan’ dengan sempurna
duduk tegak dikerusi yang selesa
baca doa penerang hati
baca buku atau nota mengikut teknik membaca yang betul
fikir dan ingat kembali isi utama
catat/lakar
semak semula ketepatan maklumat
ulang sebut atau ceritakan pada orang lain
buat rumusan
jawab soalan
tampal maklumat yang rumit di dinding
baca doa tanda kesyukuran selepas belajar
Tahu memberi ganjaran kepada diri sendiri selepas beajar seperti membaca surat khabar, melawat rakan dan sebagainya.
Tahu petua-petua agar tidak lupa:
jangan makan kepala ikan
jangan makan organ dalaman
jangan minum semasa makan
jangan minum atau makan makanan yang tercemar oleh semut
jangan melihat kemaluan
banyakkan makan makanan yang mengandungi soya seperti tempe, tauhu dan lain-lain
banyakkan makan kismis, kurma dan madu
banyakkan makan kekacang
pakai minyak wangi ketika belajar atau menghadapi peperiksaan
jangan makan sehingga terlalu kenyang
jangan kencing berdiri
Tahu kemahiran mengingat:
tampal nota-nota penting di dinding
tukar perkataan, ayat atau definisi dalam bentuk gambar atau rajah
gunakan kaedah akronim
reka cerita atau ayat mengenai konsep yang perlu diingat
pecahkan maklumat kepada kumpulan kecil
Cekap mengatur jadual belajar:
mempunyai jadual belajar
patuh kepada jadual
buat jadual yang boleh diikuti
Tidak menangguh belajar pada saat akhir dan tidak menumpukan peperiksaan sebagai dorongan untuk belajar.
Cari maklumat mengenai subjek yang tidak diketahui. Sediakan perkara-perkara yang tidak diketahui dan dapatkan penyelesaian dari orang yang lebih arif.
Membina kepelbagaian dalam pembelajaran. Sebagai contoh, satu hari dipelbagaikan cara dan topik untuk belajar.
Menggunakan masa terluang untuk mengulang kaji atau mencuri masa.
Membawa nota ke mana-mana sahaja (kecuali ke tandas).
Pelbagaikan tempat belajar.
Menyedari guru-guru adalah sumber ilmu yang baik. Tanya guru apabila tidak faham
Menjadikan nota-nota menarik seperti membuat corak, menggariskan isi penting dan sebagainya.
Ciri-ciri pelajar cemerlang:
taat kepada Allah
mendirikan sembahyang
menghormati kedua ibu bapa dan sentiasa mendoakan mereka
hormati & sayangi guru
bersungguh-sungguh dalam melakukan kerja untuk mencapai kecemerlangan.
suka pada setiap mata pelajaran yang dipelajari
membantu rakan yang memerlukan
berdoa dan bersyukur kepada Allah
sentiasa bertawakal
mahir dalam setiap mata pelajaran
Kita juga perlu ingat pelajar yang cemerlang, adalah juga cemerlang pada akhlak dan tingkah lakunya dan seimbang dalam kehidupannya. Kecemerlangan pelajar bukan semata-mata dilihat pada nilai akademiknya sahaja. Semoga bermanfaat.
Umar al Khattab
January 31, 2012
SYAIDINA UMAR AL KHATTAB (SEJARAH ISLAM)
Biodata
Nama sebenar : Umar b Al-Khattab b Nufail b Abdul Uzza b Ribaah b Abdillah b Qarth b Razaah b ‘Adi b Kaab
Nama Ibu : Hantamah bte Hasyim bin Al-Mughirah bin Abdillah bin Umar bin Makhzum.
Gelaran : Al-Faruq
Keturunan : Arab Quraisy (Kabilah Bani Adi)
Tarikh lahir : 13 tahun selepas berlakunya peristiwa Abrahah (menurut Imam Nawawi)
Jawatan : Khalifah Ar-Rasyidin Kedua
Tarikh Lantikan : 634M
Tempoh Jawatan : 10 tahun
Tarikh M/Dunia : 23H @ 644M
Umur : 63 tahun
Semasa sebelum memeluk Islam, beliau merupakan duta bagi kaumnya terutama untuk mengadakan perundingan antara kabilah yang bermusuhan. Beliau merupakan mertua Rasulullah SAW apabila Rasulullah bernikah dengan anaknya, Hafsah bte Umar. Beliau salah seorang yang dijamin Syurga oleh Rasulullah SAW. .
Sifat Peribadi Umar al-Khattab
Ubaidullah bin Umar menceritakan bahawa suatu hari para sahabat melihat Umar memikul tempat air di bahunya. Lalu mereka bertanya : “Wahai Amirul Mukminin ! Mengapa tuan sendiri yang memikul air ini ?” Jawab Umar al-Khattab : “Saya merasakan bahawa diri saya telah takbur, lalu saya mengangkat air ini untuk menundukkannya”
Kata Aslam beberapa orang berbicara dengan Abdul Rahman bin Auf. Kata mereka : “Umar al-Khattab telah menimbulkan rasa takut kami sehingga mata kami tidak berani bertentangan mata dengannya”. Hal ini diadukan oleh Abdul Rahman bin Auf. Lalu Umar al-Khattab berkata : “Benarkah mereka berkata demikian ?” “Demi Allah, saya telah cuba melunakkannya, sehingga lantaran lunak saya itu saya takut dimarahi Allah. Saya cuba pula dengan sikap keras sehingga saya takut Allah marah kepada saya. Bagaimanakah lagi ? Bagaimana nasib saya yang berbeza dengan mereka ?”
Diriwayatkan oleh Umar bin Murrah bahawa seorang lelaki bertemu dengan Umar al-Khattab dan berkata : “Bersikap lunaklah kepada kami, sebab kami amat gentar melihatmu !” Umar menjawab : “Adakah saya berbuat sesuatu yang zalim ? ” Jawab lelaki itu : “Tidak” Kata Umar lagi : “Kalau begitu, biarlah Allah menambah rasa takut dalam hatimu terhadapku”
Menurut Barrak bin Makrur : “Pada suatu hari Umar al-Khattab naik ke mimbar untuk memberi tazkirah, tiba-tiba dia merasa sakit. Menurut para jamaah, ubatnya adalah madu lebah dan di Baitulmal banyak tersimpan madu lebah” Kata beliau : “Kalau tuan-tuan izinkan, saya akan gunakannya, tetapi kalau tidak diizinkan haram ke atas saya mengambilnya”
Keislaman Saidina Umar
Beliau memeluk Islam pada tahun ke 6 kenabian ketika berumur 27 tahun. Tindakannnya ini mengemparkan masyarakat Quraisy dan memberi berita gembira kepada umat Islam bahawa Islam akan menjadi kuat.
Rasulullah SAW pernah berdoa ; “Ya Allah kuatkan Islam dengan Umar Al-Khatab atau Abu Jahal b. Hisyam” Hadtih riwayat At-Thabarani
Dalam sebuah hadith lain yang diriwayatkan oleh At-Thabarani bahawa Rasulullah SAW juga pernah berdoa : “Ya Allah kuatkan Islam dengan Umar Al-Khatab”
Sebuah hadith dari Ibnu Abbas yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah bahawa Rasulullah SAW berkata : “Apabila Umar memeluk Islam, Jibrilpun datang dan berkata : “Ya Muhammad, sesungguhnya seluruh makhluk langit bergembira dengan islamnya Umar”
Setelah memeluk Islam, Rasulullah SAW telah mengelarnya sebagai Al-Faruq kerana dapat membezakan di antara perkara yang benar dan bathil. Ketika ditanya oleh para sahabat bagaimana dia mendapat gelaran tersebut, Saidina Umar menjawab : “Pada suatu hari, Aku bertanya kepada Rasulullah SAW : “Ya Rasulullah SAW, adakah kita dalam kebenaran ?”
Jawab Rasulullah SAW : “Benar”
Aku berkata lagi : “Kenapakah kita beribadah secara sembunyi ?”
Kemudian kami masuk ke Masjidil Haram membuat dua syaf, satu saya dan satu lagi Saidina Hamzah (berjemaah). Maka semua orang KAFFIR Quraisy melihat ke arah kami berdua dengan perasaan yang sangat marah yang tidak pernah mereka terjadi sebelum ini, lalu Rasulullah SAW mengelarkan aku Al-Faruq !
Dengan islamnya Umar, maka umat Islam yang sebelum itu sentiasa ketakutan menjadi kuat. Mereka telah berani solat secara terang-terangan di BaitulLah khususnya setelah peristiwa di atas. Di samping itu juga, orang Quraisy juga tidak berani menganggu orang Islam yang sedang beribadah kerana takut kepada Umar.
Keberanian Umar
Peristiwa yang menarik perhatian kafir Quraisy Makkah ialah apabila Saidina Umar Al-Khattab mengambil langkah untuk berhijrah secara terang-terangan, berbeza dengan pendirian para sahabat yang lain yang terpaksa berhijrah secara rahsia.
Umar Al-Khattab terkenal sebagai seorang yang berani semasa kafir dan bertambah berani sesudah beriman. Pada detik-detik terakhir sebelum meninggalkan kota Makkah untuk berhijrah ke Madinah, Saidina Ali r.a. yang menyaksikan peristiwa tersebut, meriwayatkan: Setelah saidina Umar membuat keputusan untuk berhijrah, beliau mengambil sebilah pedang disandang di sisi pinggangnya, kemudian dicapainya busar panah lalu disangkut dibahunya, sebatang anak panah tergenggam ditangannya dan melangkahkan kaki menuju ke Kaa’bah. Ketika itu tokoh-tokoh Quraisy sedang bersantai di sisi Ka’abah menyaksikan kehadiran Umar.
Saidina Umar melakukan tawaf tujuh kali dengan penuh semangat tetapi tenang, tanpa menghiraukan tokoh-tokoh kafir Quraisy yang memerhatikannya. Sebaik selesai melakukan tawaf, beliau menuju ke Maqam Ibrahim dan mendirikan solat.
Selesai solat, Umar berdiri di sisi Maqam Ibrahim sambil mengeluarkan kata-kata yang keras dan pedas terhadap puak kuffar Quraisy. kata Umar: “Sesungguhnya Allah SWT tidak akan membinasakan wajah manusia di dunia ini, kecuali wajah puak-puak jahannam yang memusuhi agama Allah.”
Kata Umar lagi: “Barangsiapa yang sanggup menjadikan ibunya keseorangan disebabkan kematian anak, meletakkan anak-anak mereka menjadi yatim piatu lantaran kematian bapa, sanggup menjadikan isteri kesayangannya menjadi balu kerana kematian suami, marilah kita adu senjata di sebalik bukit ini.”
Cabaran Saidina Umar terhadap tokoh-tokoh Quraisy yang menyaksikan kehadiran Umar dengan pedang terhunus itu, ternyata menimbulkan kesan gerun di dalam hati mereka. Pertama kali mereka mendengar cabaran yang begitu hebat dari Umar, mereka terpegun tanpa seorangpun yang berani menyahut cabaran Umar berlawan senjata.
Dari sudut psikologi, cara Umar mencabar puak Quraisy dengan gaya seorang pahlawan yang bersedia untuk mati, menjadikan puak Quraisy lemah semangat. Mereka membisu tanpa reaksi, sekalipun Umar mengutuk mereka sebagai puak yang bakal dibinasakan Allah SWT. Dalam keadaan puak Quraisy lemah semangat, Umar mengajaknya adu senjata.
Saidina Ali r.a. yang turut mendengar kata-kata Umar itu berkata: Sesudah itu Umar melangkahkan kaki meninggalkan kota Makkah dengan tenang, tanpa dijejaki oleh puak-puak Quraisy. Bagaimanapun peristiwa itu memberi seribu rahmat kepada kaum muslimin yang letih lesu, dari kalangan orang-orang tua, orang-orang sakit yang tidak terdaya meninggalkan kota Makkah tanpa teman. Mereka semua mengambil peluang untuk berhijrah ke Madinah bersama Umar Al-Khattab, dengan aman tanpa sebarang gangguan.
Berikutan dari peristiwa itu, maka kaum muslimin Makkah telah menyahut seruan hijrah. Sehingga tiada lagi para penyokong Nabi s.a.w. yang tinggal di Makkah, kecuali Nabi s.a.w., Saidina Abu Bakar As-Siddiq. Saidina Ali bin Abi Talib, selain itu orang-orang yang sakit, mereka yang tidak kenderaan dan keupayaan berhijrah dan mereka yang dikenakan tahanan oleh pihak Quraisy, akibat tindakan mereka menyahut seruan Islam
Hadith tentang Umar
1. Semasa tidur, aku bermimpi bahawa aku berada dalam Syurga. aku lihat seorang perempuan sedang berwudhuk dekat sebuah istana. Aku bertanya untuk siapa istana ini. Katanya : Untuk Umar” Hadith riwayat Shiekhaini (Bukhari dan Muslim)
2. Sesungguhnya Allah menjadikan lidah dan hati Umar itu di atas kebenaran. Hadith riwayat At-Turmizi
3. Sekiranya selepas aku ada nabi, sudah pasti Umarlah orangnya. Hadith riwayat At-Turmizi
4. Sesungguhnya aku lihat syaitan-syaitan dari kalangan jin dan manusia lari lintang pukang dari Umar. Hadith riwayat At-Turmizi
5. Umar cahaya bagi penduduk Syurga.
6. Semua malaikat di langit menyayangi Umar dan semua syaitan di dunia melarikan diri dari Umar
7. Sesungguhnya ada seseorang di kalangan umat sebelum kamu yang menjadi sebutan ramai (kerana kebaikannya), jika perkara ini terjadi dalam umat Islam, sudah tentu Umarlah orangnya. Hadith riwayat Bukhari.
8. Tidak ada sesuatu perkara yang diperkatakan oleh orang ramai dan kemudian diperkatakan oleh Umar, nescaya turunlah al-Quran sebagaimana yang dilafazkan oleh mulut Umar. (Kata-kata Abdullah bin Umar)
Umar Sebagai Orang Yang Pertama
1. Pertama digelar Amirul Mukminin
2. Pertama menggunakan Hijrah sebagai kalendar Islam
3. Pertama mengenakan pukulan 80 kali ke atas peminum arak
4. Pertama mengharamkan nikah mut’ah
5. Pertama mewajibkan zakat ke atas kuda
6. Pertama menubuhkan jabatan-jabatan
7. Pertama sunatkan Qiyyam Ramadhan
8. Pertama mengarahkan solat Jenazah berjemaah dengan 4 takbir
9. Pertama memperkenalkan Al-’Aul dalam masalah Faraid (harta pusaka)
Umar Dan Al-Quran
Saidina Umar Al-Khattab mempunyai pemikiran yang sangat hebat. Beberapa pendapatnya merupakan sebab turunnya al-Quran. Di antara ayat-ayat al-Quran yang diturunkan sempena pendapat beliau ialah :
1) Kisah tawanan Badar – ayat 28 Surah Al-Anfal
2) Ayat Menjadikan Maqam Ibrahim sebagai tempat solat – Ayat 125 Surah Al-Baqarah
3) Ayat Hijab – Ayat 53 Surah Al-Ahzab
4) Ayat tentang asal-usul kejadian manusia – Ayat 12 Surah Al-Mukminun
5) Ayat tentang arak – Ayat 219 Surah Al-Baqarah dan Ayat 43 Surah An-Nisa’
6) Ayat Larangan Mensolati Jenazah Orang Munafiq – Ayat 84 Surah At-Taubah
7) Kisah orang Munafiq – Ayat 6 Surah Al-Munafiqun
8) Ayat 5 Surah Al-Anfal
9) Ayat 16 Surah An-Nur
10) Ayat tentang penghalalan jima’ di malam bulan Ramadhan – Ayat 187 Surah Al-Baqarah
11) Ayat 97 Surah Al-Baqarah
12) Ayat 65 Surah An-Nisa’
13) ayat 13 Surah Al-Waqiah
Kelahiran yang melahirkan kembali kemanusiaan
January 28, 2012
Rabiulawal begitu sinonim dengan kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam.Gegak gempitalah di seluruh pelosok kota dan desa dengan pelbagai acara sambutan hari keputeraan Pesuruh Allah, manusia paling agung yang pernah dilahirkan di persada dunia ini.
Penulis tidak berhasrat mempersoalkan hukum menyambut hari keputeraan baginda yang mulia. Hanya sekadar ingin mengajak sama-sama membetulkan arus perjalanan hidup kita semua, benarkah kita sedang berada di landasan yang betul, di jalan lurus atau sirat al-mustaqim yang telah digariskan baginda sallallahu alaihi wasallam mengikut ketentuan Tuhan Maha Agung yang telah mengutusnya sebagai Rasul pilihan terakhir?
Semua mengakui bahawa Rasulullah sallallahu alaihi wasallam datang membawa suatu risalah paling sempurna, paling lengkap, merangkumi seluruh aspek kehidupan sama ada yang berkait dengan masalah individu, keluarga, masyarakat, negara, hubungan antara bangsa, hubungan dengan alam sama ada alam ghaib dan alam nyata. Pendeknya tiada satu masalah pun dalam hidup ini yang tidak disentuh oleh ajaran baginda. Hal ini ditegaskan oleh Yang Maha Bijaksana dalam firman-Nya yang bermaksud:
“… Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu…”
(Al-Maidah: 3)
“…Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun dalam kitab al-Quran ini; …”
(Al-An’am: 38)
Pendeknya, kelahiran baginda bukan satu kelahiran biasa. Bukan hanya sekadar lahirnya seorang manusia untuk meramaikan bilangan ahli keluarga, atau hanya sekadar menambah bilangan umat di dunia. Sebaliknya kelahiran baginda adalah kelahiran kemanusiaan itu sendiri. Manusia seolah-olah dilahirkan semula selepas mati. Mereka dilahirkan semula ke dunia baru, dunia yang penuh kesejahteraan, keadilan, keamanan dan kemakmuran. Sebelumnya mereka berada dalam satu dunia yang penuh dengan kegelapan, kejahilan, kezliman, penindasan, kekacauan, pertelingkahan dan kerosakan. Sesungguhnya manusia tanpa hidayah iman laksana si mati yang tidak berguna dan tidak dapat berbuat apa-apa sebagaimana dinyatakan dalam firman-Nya yang bermaksud:
“Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkan dia semula (dengan hidayah petunjuk), dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi (sehingga dapatlah ia membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan dapatlah) ia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, (adakah orang yang demikian keadaannya) sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap gelita (kufur), yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya? Demikianlah (sebagaimana iman itu diperlihatkan keelokannya kepada orang-orang yang beriman), diperlihatkan pula pada pandangan orang-orang yang kafir itu akan keelokan apa yang mereka telah lakukan (daripada perbuatan kufur dan segala jenis maksiat).”
(Al-An’am: 122)
Baginda telah memimpin tangan manusia dan meletakkan mereka di landasan yang betul, iaitu membawa mereka kembali kepada Tuhan mereka Yang Esa, yang mencipta, memiliki, memelihara, menaungi dan memberi rezeki.
Baginda menjelaskan matlamat hidup manusia, kedudukan serta tugas mereka di atas muka bumi ini. Mereka adalah hamba, tugas mereka memakmurkan bumi dalam rangka mencapai matlamat hidup yang hakiki, iaitu mengabdikan diri kepada Allah semata-mata. Mengabdikan diri kepada Allah bukan hanya dengan melakukan ibadah secara ritual semata-mata, tetapi ibadah dalam erti kata yang lebih luas, mengabdikan diri kepada Allah dengan melaksanakan segala suruhan dan menjauhi segala larangan, secara zahir dan batin.
“Kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum agama; maka turutlah syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar).”
(Al-Jathiah: 18)
Baginda membimbing individu memperbaiki diri dengan menyucikan jiwa daripada sifat-sifat keji dan menghiasinya dengan sifat terpuji. Kemudian mengislahkan keluarga dengan meletakkan hak serta tanggungjawab setiap ahli keluarga dengan jelas dan terpandu. Masyarakat disusun berpaksikan persaudaraan, persamaan, keadilan, dan kebebasan. Seterusnya negara dibangunkan di atas landasan syura, melaksanakan amanah dan pertanggungjawaban setiap individu; pemerintah dan rakyat di hadapan Allah ‘Azza wa Jalla di akhirat kelak.
Di mana umat pada hari ini berbanding apa yang dibawa oleh baginda?
Setiap hari berita mengenai pelbagai jenis jenayah memenuhi setiap halaman akhbar, menggambarkan moral umat yang tenat, walhal baginda diutus untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak.
Perceraian meningkat, penderaan wanita dan kanak-kanak, derhaka kepada ibu bapa merupakan fenomena yang kian meluas meresap ke dalam stuktur keluarga Muslim, walhal baginda sangat prihatin terhadap pembinaan keluarga yang sejahtera.
Masyarakat kehilangan hala tuju yang jelas, kemungkaran digembar-gemburkan, orang-orang fasik dijulang, yang soleh dipinggirkan.
Rasuah, salah guna kuasa, politik wang, fitnah memfitnah menjadi mainan semua lapisan.
Semua itu berpunca daripada tidak menghayati ajaran Nabi sallallahu alaihi wasallam, tidak menjadikan baginda sebagai contoh yang diikuti, tidak mengambil al-Quran dan as-Sunnah sebagai panduan yang sentiasa dituruti.
Justeru, sempena Rabiulawal yang sedang menjengah kini, marilah sama-sama kita menanamkan azam dengan sepenuh hati untuk kembali kepada ajaran Nabi sallallahu alaihi wasallam Jadikan kitab suci al-Quran dan as-Sunnah yang baginda tinggalkan sebagai rujukan dan panduan yang satu-satunya bagi menyelesaikan semua masalah yang melanda umat ketika ini dan pada bila-bila masa.
Ustazah Maznah Daud
Muhammad SAW manusia agung
January 28, 2012
MUHAMMAD (SAW) ADALAH UTUSAN DAN CIPTAAN ALLAH YANG MAHA AGUNG
Muhammad (SAW) Ibn Abdullah adalah Rasul dan Nabi Pilihan. Rasul Terakhir kepada manusia ini merupakan ciptaan Allah yang Maha Agung.Kehebatan Muhammad (SAW) terserlah dalam semua semua aspek, suatu yang tidak perlu dipertikaikan.
Baginda dipilih di kalangan manusia kerana baginda adalah Nabi dari segi teori dan praktikal kehidupan manusia dalam segenap kehidupan.
Adab akhlaknya dibentuk dan diprogramkan sempurna sebagai makhluk oleh Allah Taala dari kecil sehinggalah ke tempoh kewafatannya.
Baginda adalah nabi yang berkahwin, makan, minum dan tinggal di kediamannya. Namun kadar yang dinikmati oleh Rasulullah SAW adalah kadar paling sederhana dan berhemat yang menunjukkan gaya hidup dan kondisi pemimpin yang dihormati bukan kerana kemewahannya untuk diri tetapi banyak disumbangkan untuk keperluan dan kepentingan ummat, sekaligus keluarga dan para sahabatnya.
Baginda memulakan hidup berkelamin di usia 25 tahun dan mengamalkan monogami selama 27 tahun bersama wanita yang paling mulia yang dicintainya sepenuh hati iaitulah Ummul Mukminin, Saiyidatina Khadijah r.a. Setelah kewafatan Khadijah, dan baginda saw berhijrah, baginda beristeri dengan beberapa orang wanita yang kemudiannya digelar Ummahatul Mukminin.
Terpanggil dengan kontroversi terbaru oleh OWC tentang penonjolan Rasulullah saw sebagai “Ikon Seks Suci”, saya merasa amat prihatin untuk mengulas dengan pendidikan berumahtangga yang disaran oleh Rasulullah saw. Mengapa ada yang tergamak untuk meletak slogan dan label sedemikian? Adakah dengan tidak memberikan anugerah ini berkurangnya kehebatan Rasulullah saw dari aspek perkahwinan? Apa justifikasi mereka untuk berkata demikian?
Banyak sudut yang boleh diulas dengan Qudwah (Contoh) Rasulullah saw dlm memimpin isteri-isteri dan anak menantunya. Pelbagai etika dan adab yang perlu diikuti oleh orang yang telah ditakdirkan sampai jodoh dan ada yang menjalani kehidupan berkeluarga sebagai anak dan adik beradik.
Kita pada hari ini walaupun hanya memiliki dan melayan seorang isteripun GAGAL untuk solat sunat dan puasa sunat. Puasa wajib pun sekadar cukup tinggal makan minum sahaja. Kita sering alpa dan tidak ada kekuatan untuk bangun bertahajjud dan qiyamullail. Kita jarang bahkan mungkin tidak pernah berkhulwah selama sebulan. Kita tidak rajin untuk bertaddarus dan beriktikaf 10 akhir Ramadhan.
Kita culas untuk solat berjamaah apatah lagi memimpin solat setiap waktu dan selalu tidak upaya lekat wudhu’. Kita tidak pernah dapat aduan ada suami hari ini yang solat sehingga bengkak kakinya dan yang bersedekah sehingga dia dan keluarganya tidak punya apa untuk dimakan. Kita juga makan daging dan lauk sehingga kini sering sakit dengan pelbagai macam penyakit kerana terlebih makan!
Nah, Nabi saw berpesan bahawa antara ciri solehahnya isteri itu bilamana dia amanah dalam merahsiakan hal ehwal dalaman dan tempat tidur suaminya. Soal hubungan kelamin tidak pernah menjadi tajuk awam dalam perbicaraan Rasulullah saw kerana baginda memuliakan perkahwinan dan soal intimasi suami isteri adalah hak peribadi yang dilindungi dan difahami.
Majoriti hadith berkait dengan soal kekeluargaan menyentuh santunnya Rasulullah saw melayan anak isterinya dalam semua tahap dan keadaan. Sabarnya ketika meleraikan konflik isteri kesayangan, Aisyah r.a yang difitnah jijik. Psikologi dan diplomasi baginda ketika mendamaikan isteri-isteri akibat cemburu merebut kasih sayangnya.
Hebatnya isteri kerana bukan setakat boleh berkorban makan tapi berkorban giliran. Giliran bersama isteri juga banyak dihabiskan dengan mereka turut serta dalam medan peperangan dan dakwah.
Hadith yang diriwayatkan oleh Aisyah ra.,Maimunah r.a, Hafsah r.a, Juwairiyyah r.a,Sofiyyah r.a dan Ummu Salamah semuanya menjurus ke arah tegarnya komitmen Rasulullah saw terhadap ibadat dalam kehidupan malamnya. Tidak berbuat apapun baginda saw melainkan ianya atas tujuan ibadat hatta untuk bersama isterinya.
Baginda saw berjaya mendidik isteri-isterinya yang baru memeluk Islam untuk turut berqiyamullail dan beriktikaf bersamanya. Ada baiknya untuk kita ketahui bahawa bila beramal seumpama itu di waktu malam ianya mesti dalam keadaan berwudhu’ dan tak pernah alpa dan asyik dengan aktiviti badaniah dan seksual yang boleh memenatkan dan merencatkan amalan qiyamullail akibat keletihan.
Makanan ruji dan sajian Rasulullah saw adalah amat ringkas dan mudah. Baginda tidak mengambil vitamin dan pelbagai “pil penguat” kerana Islam mengajar hubungan suami isteri di bilik tidur adalah sebahagian proses untuk mendapatkan zuriat yang soleh bukan atas landasan melampiaskan nafsu yang sentiasa berkobar. Klimaks kemesraan dan kemanjaan bertempat dan sahih serta terhormat antara lelaki dan wanita menyebabkan semua sahabat berlumba untuk berkahwin.
Banyak masa siangnya dihabiskan di luar rumah sebagai “hablun minannas” dan masa malamnya digunakan untuk mengabdi diri dengan meningkatkan hubungan “hablun minaLlah”.
Jadi, adalah kurang molek dan mencemar fokus kalau ketaatan isteri dan kecintaan suami itu ditumpukan pada aspek seksual yang lebih bersifat fizikal dan sementara.
Mengatur dan meletakkan had dan aras dalam hubungan kelamin adalah wajar dan perlu dalam Islam kerana andai tidak dijelaskan manusia mungkin meniru gaya dan kekerapan binatang dan haiwan dalam melakukan hubungan jenis. Seks adalah perkara fitrah tetapi ia harus dipupuk supaya ia menjadi hubungan suci lagi murni bukan keperluan hakiki yang wajib dinikmati setiap ketika atas alasan kerana telah bernikah.
Suami isteri yang tua lagi uzur, mereka masih mempunyai cukup ruang untuk meluahkan kasih sayang dengan sifat mawaddah, ihsan dan rahmah sehingga wujud sakinah dalam rumahtangga dan kehidupan. Organ seks bukanlah kemuncak alat dalam kehidupan yang perlu diagungkan dan manusia yang tidak memilikinya serta menikmatinya dianggap kurang dan tidak sempurna!
Manusia itu sempurna dengan minda, badan, emosi dan spiritual yang sihat dan cerdas. Nabi Isa a.s dan ibunya maryam tidak pernah berkahwin tetapi terbukti mereka masing-masing adalah Rasul Ulul Azmi dan antara 4 perempuan yang paling mulia dalam Islam. Mereka tetap Idola kita sebagai umat Islam. Imam Nawawi juga tidak sempat berkahwin tetapi hadith arbain susunannya tetap unggul dan bermakna untuk kelangsungan ummah.
Berkahwin adalah sunnah Rasulullah saw dan menjalani dan mengurus isteri dan rumahtangga adalah cabaran besar dan rutin yang menuntut ilmu dan hikmah sepanjang masa bukan hanya seks. Aktiviti seks mungkin memakan tempoh 30 minit dalam seminggu atau dalam tempoh 3 bulan jadi adalah tidak munasabah kalau ukuran kehebatan Islam itu diukur dan dilabel dengan fokus itu dan ke situ! Seolah kita juga kini terjerumus dan menjerumuskan masyarakat ke dalam minda “hanya kepuasan seks” segala-galanya.
24 jam bersama suami dan 30 tahun berumahtangga memerlukan kesyumulan contoh dari Rasulullah saw melayari kehidupan. Bukan terhenti atau terikat dengan aktiviti seksual semata. Rasulullah saw diangkat menjadi nabi ketika usianya menjangkau 40 tahun dan mempunyai had masa 23 tahun untuk menyampaikan dan menyempurnakan keseluruhan aspek sosial,politik dan ekonomi Islam yang diwariskan kepada ummat sehingga qiamat.
Piawaian lelaki dan manusia terbaik di kalangan semua ummat adalah lelaki yang paling baik layanan dan penghormatan kepada isteri dan keluarganya. Islam bukan agama hipokrit dan bermotif dengan menyayangi isteri dan anak kerana pulangan khidmat dan balasan seksual dan fizikal tetapi kerana itu adalah hak dan hudud yang ditetapkan oleh Allah swt.
Rasulullah saw pengangkat martabat wanita dan lelaki serta anak-anak dengan setinggi-tingginya dengan penganugerahan hak layanan, penghormatan nasab, harta,nafkah dan pusaka dengan sepatah kata “aku terima nikahnya”.
Saya yakin dan saya percaya ramai lagi di luar sana yang menyanjung dan ingin mengamalkan sunnah kehidupan berkeluarga Rasulullah saw yang syumul dan lebih banyak dibuat oleh baginda di luar bilik tidur.
Maka, marilah kita berselawat ke atas junjungan besar Rasulullah saw kerana kemuliaannya , jasa pengorbanannya dan sopannya menghargai wanita dan keluarga sebagai manusia yang punya hak dan kemahuan bukan objek seks sebagaimana kefahaman barat mengenai wanita. Janganlah kita terperangkap dan terjerat oleh kehendak dan fahaman mereka mengenai rumahtangga dan perkahwinan.
Berkahwin itu adalah proses yang lebih mulia dan jangka panjang untuk ummah sifatnya dan antara dua keluarga dan masyarakat bukan berobjektifkan ketaatan fizikal individu dan penyerahan tubuh semata mata.
Percayalah, apapun aktiviti kita semuanya adalah untuk beribadah dan menggambarkan kehambaan kita kepada yang Maha Pencipta.
Allahumma solli ‘ala Muhammad wa ‘ala alihi wasahbihi ajmain.
MUMTAZ MD. NAWI
Pengamal Undang-undang
Amal Pembimbing Masyarakat
January 24, 2012
Amal Pembimbing Masyarakat
Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,
Islam turun ke muka bumi ini untuk menetapkan prinsip-prinsip kehidupan yang mulia dan syariat yang lurus serta kewajiban berdakwah setiap muslim untuk menegakkan syariatnya dan menjadikan Islam sebagai guru bagi semesta alam.
Namun kenyataannya agak berbeza sekarang ini di mana Islam tidak sepertimana yang diharapkan berbanding kejayaan di zaman lampau bahkan permasalahan menjadi sangat kompleks dan rumit apabila perdebatan agama (furu’iyyah) berlaku di mana-mana.
Perubahan yang sistemik itu menjadikan hukum dan kekuasaan ‘kuffar’ mengganas di muka bumi ini sehingga merosakkan tanaman Islam yang telah dibangunkan oleh para pendahulu.
Namun, kini masih ada segolongan para reformis sejati yang membawa bendera Islam dengan memperjuangkan perbaikan jiwa dan juga memberikan pelayanan kepada masyarakat.
Sungguh indah firman Allah swt :
“Kerana itu Allah memberikan kepada mereka pahala di dunia dan pahala yang baik di akhirat dan Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan.” (QS Ali Imran : 148)
Pahala dunia mungkin berupa kemenangan-kemenangan, memperolehi harta rampasan, pujian-pujian dan lain-lain.
Para reformis tersebut menjadi pelaku utama dan :
Menjadikan Kalimah ‘At-Taqwa’ sebagai pelopor dalam bergerak.
Mengambil Tarbiyah Ruhiyah sebagai landasan untuk memberikan pelayanan kepada umat.
Memperhatikan prinsip bahwa perubahan dalam masyarakat dengan memperbaiki hukum yang ada menuju sebuah perubahan yang lebih baik dan menyeluruh di segenap sisi kehidupan.
Adapun syarat yang mesti dipenuhi oleh para pelopor kebaikan ini adalah perlu berdiri tegak di atas asas :
‘Amal Jama’ie’.
Keikhlasan.
Sungguh indah apa yang ditulis oleh Imam Hasan Al-Banna di dalam risalahnya dengan meletakkan rukun amal setelah rukun faham dan ikhlas.
Tidak boleh dikatakan seseorang itu beramal jika tidak dibekalkan dengan kefahaman dan tidak akan diterima sebuah amal jika tidak diasaskan dengan rasa ikhlas.
Sudah terbukti sepanjang sejarah Islam, kejayaan para aktivis dakwah yang memahami al-Islam yang bersandarkan kepada keimanan dan amal.
Imam Hasan Al Banna menjadikan rukun amal itu berfasa-fasa dan masing-masing fasa mempunyai peranannya masing-masing dan juga saling mempengaruhi antara satu dengan yang lainnya.
Dimulai dengan manhaj amal peribadi kemudian keluarga, masyarakat hingga kepada kekhalifahan Islam dan ini sesuai dengan apa yang dilakukan oleh Rasulullah saw ketika menyeru kepada kaumnya.
Kemudian berpindah kepada fasa memberikan petunjuk dan jalan yang benar dengan membentuk peribadi muslim, rumah tangga Islam dan suasana masyarakat yang Islamik sehingga beliau fokus kepada fasa ini dan sangat berhati-hati dan teliti dalam memilih manhaj yang benar dan lurus untuk merubah suasana masyarakat kepada yang lebih Islamik dan ideal yang diinginkan oleh Islam itu sendiri.
Kita sebagai seorang muslim mengimani manhaj ini dan sentiasa berusaha untuk dapat memberikan bimbingan kepada umat yang dengan manhaj ini akan terbentuk aturan masyarakat di seluruh alam di mana aturan itu adalah bernama : ‘Al-Islam’.
PENGERTIAN AMAL PEMBIMBING MASYARAKAT
Secara bahasanya :
‘Amal’ didefinasikan sebagai mengerjakan sesuatu dan mempunyai tujuan. Manakala ‘Mujtama’ pula adalah kumpulan manusia dalam sebuah komuniti tertentu dan ‘Irsyad’ adalah ‘Petunjuk atau Pembimbing’.
Secara istilahnya, Amal Pembimbing Masyarakat adalah :
“Segala daya dan usaha serta kesungguhan yang dilakukan untuk menerapkan tujuan syariah di atas muka bumi ini.”
‘Al-Amal’ di sini yang dimaksudkan adalah amal kebaikan sebagaimana dalam Al-Qur’an yang termaktub di dalamnya ibadah, muamalah atau amal lainnya.
Allah swt tidak menginginkan sesuatu amal itu hanya sebatas amal kebaikan, namun yang perlu dipersembahkan adalah amal yang terbaik.
Firman Allah swt :
“Yang menjadikan mati dan hidup, supaya dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. dan dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” (QS Al-Mulk : 2)
Imam Hasan Al Banna menulis dalam majalah Al-Ikhwan Al Muslimun pada tahun 1352 H :
“Wahai para aktivis! Sesungguhnya saat ini umat sedang menunggu kamu, hiasilah dirimu dengan kebaikan, umat memerlukan ajaran Islam dari rijal dakwah seperti kamu……”.
Islam tidak hanya dimanifestasikan dalam keperibadian seorang muslim semata-mata tetapi nilai-nilai Islam juga dilihat dari keadaan sosial masyarakatnya. Jika keadaan masyarakatnya baik, maka secara automatiknya baik pulalah masyarakat yang ada di dalamnya.
Oleh kerana itu Al-Quran sentiasa memakai kalimah jama’ (yâ ayyuhal ladzina âmanu) dan bukan memakai kalimat (yâ ayyuhal mu’min) sehingga bebanan dakwah yang kita pikul memerlukan :
Amal jama’ie.
Kesabaran.
Ketenangan.
Kekuatan.
untuk dapat membawa risalah yang mulia ini.
Begitu juga dalam ibadah dan muamalah di mana semuanya tercermin di dalam suasana kemasyarakatannya.
Setiap pendakwah pasti akan di uji dalam kesehariannya, semakin dia laju dalam melakukan perubahan di dalam masyarakat, maka tentangan itu akan semakin nyata dan terlihat.
Ujian dan tentangan itu boleh datang dalam bermacam-macam cara dimulai dari :
Diasingkan.
Diusir dari negaranya.
Dicampakkan ke dalam penjara sehingga sampai kepada ancaman hukuman mati.
Oleh kerana itu Al-Islam telah memberikan petunjuk-petunjuk yang jelas tentang hubungan antara peribadi seorang pendakwah dengan masyarakat dan keduanya saling mempengaruhi.
Jika peribadi seorang muslim itu baik, maka keadaan masyarakatnya akan baik pula dan apabila keadaaan masyarakatnya sudah baik, maka keadaan itulah yang juga akan membantu dirinya untuk sentiasa iltizam memegang ajaran Islam.
Ini seperti yang berlaku di zaman Rasulullah saw ketika berhijrah ke Madinah, maka perancangan besar Rasulullah saw pada waktu itu adalah ingin :
Mewujudkan masyarakat yang memegang prinsip-prinsip Aqidah Islamiyah.
Menegakkan ajarannya.
Sentiasa mensyi’arkan syariat Allah swt.
Ini seperti yang dinukilkan oleh Allah swt di dalam Al Quran :
“Wahai manusia, Sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa – bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal.” (QS Al Hujuraat : 13)
Melakukan aktiviti dan beramal untuk memberikan bimbingan kepada masyarakat adalah hukumnya wajib syar’ie kerana sebab-sebab berikut :
PERTAMA : MENUNAIKAN KEWAJIBAN KITA SEBAGAI SEORANG MUKMIN KEPADA ALLAH SWT UNTUK MENJADIKAN KHALIFAH DI DUNIA DAN MELAKUKAN KEBAIKAN.
Firman Allah swt :
“(Iaitu) mereka yang beriman(1) kepada yang ghaib(2), yang mendirikan solat(3), dan menafkahkan sebahagian rezeki(4) yang kami anugerahkan kepada mereka.” (QS Al Baqarah : 3)
(1) – Iman ialah kepercayaan yang teguh yang disertai dengan ketundukan dan penyerahan jiwa. tanda-tanda adanya iman ialah mengerjakan apa yang dikehendaki oleh iman itu.
(2) – Yang ghaib ialah yang tidak dapat ditangkap oleh pancaindera. Percaya kepada yang ghaib iaitu beri’tiqad adanya sesuatu yang ‘maujud’ yang tidak dapat ditangkap oleh pancaindera, kerana ada dalil yang menunjukkan kepada adanya, seperti: adanya Allah, malaikat-malaikat, hari akhirat dan sebagainya.
(3) – Solat menurut bahasa Arab : doa manakala menurut istilah syara’ ialah ibadah yang sudah dikenali, yang dimulai dengan takbir dan disudahi dengan salam, yang dikerjakan untuk membuktikan pengabdian dan kerendahan diri kepada Allah. Mendirikan solat ialah menunaikannya dengan teratur dengan melengkapi syarat-syarat, rukun-rukun dan adab-adabnya, samada yang lahir ataupun yang batin seperti khusu’, memperhatikan apa yang dibaca dan sebagainya.
(4) Rezeki: segala yang dapat diambil manfaatnya. Menafkahkan sebahagian rezeki ialah memberikan sebahagian dari harta yang telah dikurniakan oleh Tuhan kepada orang-orang yang disyariatkan oleh agama memberinya seperti orang-orang fakir, orang-orang miskin, kaum kerabat, anak-anak yatim dan lain-lain.
Sesungguhnya kaum muslimin dianjurkan oleh Allah swt untuk melakukan kebaikan di muka bumi ini walauapapun keadaan yang menimpa kita ketika ini seperti firman Allah swt :
“Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah kamu, sujudlah kamu, sembahlah Tuhanmu dan perbuatlah kebajikan, supaya kamu mendapat kemenangan.” (QS Al Hajj : 77)
Sesungguhnya manusia mempunyai keperluan yang asasi sehingga kita sebagai pendakwah mempunyai kewajiban yang tidak boleh kita tinggalkan, iaitu menegakkan Daulah Islamiyah dan melakukan perbaikan di dalam lingkungan kita.
Di antara kewajiban itu adalah memberi makan para fakir miskin, merawat orang-orang yang sakit, mengajar manusia dan membenteras kebodohan, memberikan petunjuk dan menyebarkan kebaikan dengan rasa cinta dan kasih sayang.
Oleh kerana itu kita sebagai pendakwah mempunyai kewajiban untuk sentiasa memberikan pelayanan kepada masyarakat dan hal ini menjadi asas untuk kejayaan dakwah.
Firman Allah swt :
“..Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. dan bertaqwalah kamu kepada Allah, Sesungguhnya Allah amat berat siksaNya.” (QS Al Maaidah : 2)
KEDUA : MENUNAIKAN KEWAJIBAN KITA SEBAGAI SEORANG PENDAKWAH UNTUK MELAKUKAN AMAR MA’RUF DAN NAHI MUNGKAR
Islam tidaklah cukup untuk melakukan perbaikan kepada manusia untuk dirinya sahaja, namun juga untuk orang lain bahkan kepada setiap muslim, samada laki-laki atau perempuan.
Firman Allah swt :
”Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma’ruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya. mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (QS At Taubah : 71)
Syiar amar ma’ruf dan nahi mungkar lebih diutamakan daripada solat dan zakat dan juga dalam masalah keimanan, Al-Quran mendahulukan amar ma’ruf dan nahi mungkar seperti firman Allah swt berikut :
“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah. Sekiranya ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.” (QS Ali Imran : 110)
Amar ma’ruf dan nahi mungkar merupakan sifatnya lebih khusus serta mempunyai makna yang lebih besar dari memberikan nasihat dan tazkirah di mana setiap muslim diberikan kemampuan untuk menasihati dan memberi peringatan dan untuk mencegah kemungkaran.
KETIGA : DAKWAH KEPADA ALLAH SWT
Sesungguhnya risalah dakwah untuk menyeru kepada agama Islam adalah beban yang dipikul oleh kita secara langsung dari Allah swt :
Firman Allah swt :
“Katakanlah: “Inilah jalan (agama) ku, Aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata, Maha Suci Allah, dan Aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik”. (QS Yusuf : 108)
Ayat di atas adalah merupakan kewajiban kita untuk menyampaikan Islam kepada individu ataupun masyarakat.
Kewajiban ini terkandung dalam empat perkara seperti yang dijelaskan oleh Allah dalam ayat berikut :
“Sebagaimana (Kami Telah menyempurnakan nikmat kami kepadamu) kami Telah mengutus kepadamu Rasul di antara kamu yang membacakan ayat-ayat kami kepada kamu dan mensucikan kamu dan mengajarkan kepadamu Al Kitab dan Al-Hikmah, serta mengajarkan kepada kamu apa yang belum kamu ketahui.” (QS Al Baqarah : 151)
KEEMPAT : KEWAJIBAN MASYARAKAT UNTUK MENEGAKKAN SYARIAH ISLAMIYAH
Seperti yang kita ketahui bersama bahwa perkara-perkara yang berkaitan dengan halal-haram, hukum-hukum yang berkaitan dengan hubungan antara peribadi dan masyarakat tentang syariat Islam ketika ini sedang mengalami kemunduran dan tidak akan pernah berlaku perubahan di dalam masyarakat kecuali para pemegang amanah dakwah (para murabbi, qiyadah, pendakwah dan pemikir Islam) sentiasa ‘muraqabatullah’ dan mempunyai semangat untuk menegakkan syariat Allah.
KELIMA : ORANG-ORANG MUKMIN YANG SENTIASA MENEPATI JANJI KETIKA BERBAIAH KEPADA ALLAH
Menunaikan baiah untuk menegakkan syariat Allah adalah kewajiban bagi setiap mukmin.
Imam Hasan Al-Banna menempatkan rukun amal ke dalam salah satu rukun dalam rukun sepuluh.
Oleh yang demikian, sesungguhnya melakukan aktiviti dan amal dalam masyarakat adalah sebuah bentuk aktiviti tarbawi dan hal ini adalah salah satu bentuk strategi dalam tahap untuk menegakkan ‘Khilafah Islamiyah’ di atas manhaj nabawi dan ‘Ustaziyatul Alam’.
”Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dia telah memilih kamu dan dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan. (Ikutilah) agama orang tuamu Ibrahim. dia (Allah) Telah menamai kamu sekalian orang-orang muslim dari dahulu, dan (begitu pula) dalam (Al Quran) ini, supaya Rasul itu menjadi saksi atas dirimu dan supaya kamu semua menjadi saksi atas segenap manusia, Maka dirikanlah sembahyang, tunaikanlah zakat dan berpeganglah kamu pada tali Allah. Dia adalah Pelindungmu, Maka Dialah sebaik-baik pelindung dan sebaik- baik penolong.” (QS Al Hajj : 78)
Ya Allah, jadikanlah kami golongan yang beramal memberi pencerahan kepada umat di samping membimbing mereka ke jalanMu yang lurus. Kekalkan kami di atas semangat amal jamai’e yang disulami keikhlasan kepadaMu. Kurniakanlah kepada kami kekuatan, ketenangan dan kesabaran sehingga kami mampu menarik kembali masyarakat untuk menyahut seruanMu serta berjihad di jalanMu hingga akhir hayat kami.
Ameen Ya Rabbal Alameen
Wan Ahmad Senadi


